PELAJAR PONDOK NAIB JOHAN HAFAZAN 30 JUZUK
PUTRAJAYA – Wakil Pondok Moden Al-‘Abaqirah (PMA), Muhammad Al-Fateh bin Mohd Hasnil dinobatkan sebagai naib johan hafazan al-Quran, 1 hingga 30 juzuk sempena Karnival Kesatuan Ummah Peringkat Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Surau Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya.
Karnival yang berlangsung selama 3 hari iaitu bermula 12 hingga 14 Februari 2018 itu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat. Seramai 34 orang peserta hafazan dari pelbagai institusi agama di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memperdengarkan bacaan hafazan al-Quran. Antara perkara yang dinilai termasuklah kelancaran hafazan, hukum tajwid, suara dan tarannum.
Antara tujuan pertandingan tersebut diadakan adalah bagi melahirkan generasi yang mahir membaca serta menghafaz al-Quran, di samping menarik minat masyarakat untuk mendekati, memahami dan menyemarakkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam kitab suci tersebut. Pencapaian adik Muhammad Al-Fateh ini sememangnya amat membanggakan khususnya bagi warga PMA. Semoga kejayaan beliau menjadi inspirasi kepada para pelajar lain untuk turut menyertai acara-acara yang dipertandingkan pada masa akan datang.