"SAYA YAKIN PADA DIRI SAYA SENDIRI"
17 Januari - Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) MAIWP terus mengekalkan kecemerlangan apabila pelajarnya, Muhammad Fitri Naim Bin Roslan, 17, muncul Pelajar terbaik Sijil Menengah Agama (SMA) 2017 Wilayah Persekutuan.
Muhammad Fitri Naim telah memperolehi 'Mumtaz Sofi' iaitu Mumtaz bagi semua 6 mata pelajaran dengan peratusan 98.7%. Beliau yang telah khatam al-Quran sejak setahun yang lalu juga merupakan Naib Johan Peringkat Kebangsaan bagi Majlis Tadarus Al-Quran Sekolah Sekolah (MTQSS) KPM Kategori Hafazan Al-Quran dan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) pada tahun 2017.
Beliau bersyukur kerana usahanya selama ini membuahkan hasil. Menurut beliau lagi, dia banyak menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran selepas menunaikan solat Isyak dan membaca al-Quran serta yakin pada diri sendiri dengan setiap apa yang dilakukan.
"Saya akan berusaha mencapai kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan ingin membalas jasa kedua ibu bapa saya", ujarnya.
SMISTA MAIWP dinobatkan sekolah terbaik di Wilayah Persekutuan dan Ketiga terbaik keseluruhan setelah memperolehi Gred Purata Sekolah (GPS) 1.46 dalam Sijil Menengah Agama (SMA) 2017.