BAITULMAL MAIWP PRIHATIN NASIB GELANDANGAN
Nasib gelandangan turut mendapat perhatian daripada Baitulmal MAIWP dalam memastikan golongan ini dapat dibantu. Sepanjang bulan Disember 2017, beberapa siri jejak asnaf gelandangan telah diadakan di beberapa lokasi yang telah dikenalpasti. Lokasi pertama, di sekitar kawasan Bukit Bintang dan Kotaraya yang diadakan pada 22 Disember 2017 dan 29 Disember 2017 dan 31 Disember 2017 di sekitar pusat bandaraya.
Pembukaan tahun baru juga, skuad jejak gelandangan terus digiatkan. Kebiasaanya jejak gelandangan akan bermula pada jam 12 malam. Namun pada tahun 2018 ini, jejak gelandangan kali ini ditukar pada jam 4 pagi kerana ketika ini boleh dilihat jumlah sebenar yang bergelandangan di kaki lima.
Hasil pemerhatian mendapati bilangan rakan jalanan berkurangan atas kawalan pihak berkuada bagi menjaga nama baik Ibu Kota dan Baitulmal difahamkan NGO-NGO tidak lagi dibenarkan melakukan agihan makanan secara terbuka, ianya hanya boleh diagihkan di lokasi-lokasi yang tertentu sahaja.
Antara kes yang dijejaki, Hisham (bukan nama sebenar) ketika ditemui bersama anak kecil yang sedang tidur di kaki lima. Beliau kelihatan cuba mengelak daripada terus ditemubual oleh pegawai Baitulmal. Setelah diselidiki, rupa-rupanya mereka adalah penerima bantuan rumah sewa dan apabila ditanya mengapa tidur di kaki lima, katanya sudah lewat malam dan tidak sempat pulang ke rumah. Isu gelandangan ini menjadi isu nasional tersebar meluas di media-media sosial dan elektronik adalah disebabkan keprihatinan masyarakat terhadap anak-anak gelandangan yang terabai dari mendapat pendidikan dan perlindungan yang sewajarnya.
Sebenarnya masalah gelandangan ini adalah merupakan masalah yang memerlukan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan termasuklah Baitulmal. Berbanding agensi-agensi seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) , Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agensi-agensi ini mempunyai kepakaran dan pengkhususan dalam menangani masalah-masalah masyarakat seperti isu gelandangan. Manakala di pihak Baitulmal MAIWP pula ,hanya mampu membantu menyalurkan bantuan daripada dana zakat. Namun ianya tertakluk kepada kelayakan dan syarat yang telah ditetapkan.
Walaupun begitu, setiap kali program turun padang diadakan, Baitulmal MAIWP akan cuba sedaya upaya memberikan kesedaran kepada golongan ini supaya tidak memilih kehidupan sebegini. Selain menyelami punca permasalahan golongan ini memilih kehidupan bergelandangan, Baitulmal juga turut memberi penerangan mengenai skim-skim bantuan Baitulmal MAIWP yang boleh dipohon.