MAIWP PERERAT HUBUNGAN DENGAN TV ALHIJRAH
15 Januari- MAIWP yang diketuai oleh YBhg. Dato' Haji Paimuzi bin Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP telah mengadakan kunjungan hormat ke TV Alhijrah baru-baru ini.
Delegasi MAIWP seramai 12 orang termasuk pengurusan tertinggi MAIWP telah disambut oleh YBhg. Dato' Izelan bin Basar, Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah sendiri. Banyak perkara telah dibincangkan dalam pertemuan tersebut khususnya berkaitan promosi dan publisiti aktiviti agihan zakat MAIWP.
TV Alhijrah yang semakin popular dan mendapat tempat di hati penonton di Malaysia dilihat sebagai salah satu platform publisiti terbaik. Bahkan tahun lalu TV Alhijrah telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij Asia Halal Brand Award (AHBA) bagi kategori Anugerah TV Islam Terbaik Asia.
Hal ini menguatkan lagi untuk MAIWP terus menjalinkan kerjasama dan sebagai NBOS antara agensi agama Islam untuk sentiasa seiring dan seirama dalam usaha menegakkan syiar Islam. YBhg. Dato' Haji Paimuzi menyatakan adalah penting untuk MAIWP mengenegahkan usaha- usaha yang telah dilakukan MAIWP dalam mengagihkan zakat yang dibayar oleh para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan. Ia akan dapat memberi fakta yang betul dan memberikan impak positif serta sekaligus menangkis persepsi negatif masyarakat terhadap zakat.