17890 TERIMA MANFAAT DARI WANG ZAKAT
25 Nov – Majlis Agihan Bantuan Pakaian dan Peralatan Persekolahan telah diadakan di Plaza Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Majlis ini diadakan sebagai simbolik penyerahan pakaian dan peralatan persekolahan kepada para pelajar.
Bantuan bagi sesi persekolahan 2018 ini diberikan kepada 17,890 orang penerima yang terdiri daripada 10,000 pelajar sekolah menengah, 4,270 pelajar sekolah rendah dan 3,620 pelajar SRA / KAFA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM 4.98 juta.
Majlis Pelancaran Bantuan Pakaian dan Peralatan Persekolahan Baitulmal MAIWP Bagi Sesi 2018 telah dirasmikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang merangkap Pengerusi MAIWP pada 5 Oktober yang lalu.
Menerusi bantuan ini, setiap pelajar akan menerima 2 pasang pakaian sekolah, sebuah beg dan sepasang kasut sekolah. Manakala tambahan 2 pasang pakaian sekolah lagi bagi para pelajar yang mengikut kelas SRA/KAFA. Bantuan ini akan disalurkan melalui pemberian kupon yang akan diagihkan kepada guru-guru biasiswa yang dilantik oleh MAIWP. Para pelajar mula menebus kupon Pakaian dan Peralatan Persekolahan pada 23 Oktober sehingga 21 Disember 2017.
Manakala di peringkat pengajian tinggi, MAIWP telah membantu seramai 10,192 orang di peringkat pengajian tinggi dan sebanyak 6,937 pelajar daripada mereka merupakan penuntut dalam bidang bukan pengajian Islam seperti bidang perubatan, undang-undang, sains sosial dan lain-lain iaitu bersamaan 68%.
Bantuan-bantuan yang disediakan oleh MAIWP ini adalah bagi memastikan anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan turut mendapat peluang pendidikan yang sama dengan rakan-rakan seusia mereka. MAIWP tidak mahu kemiskinan yang dialami menyebabkan mereka tercicir daripada mendapat peluang pendidikan. Bagi bantuan zakat di bawah aspek pendidikan, sebanyak 9 skim agihan zakat disediakan bermula daripada peringkat sekolah sehingga peringkat pengajian tinggi.