Pondok Moden Pusat STAM Pertama di Wilayah
05 November 2017, Batu Caves - Baru-baru ini berlangsungnya peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Pondok Moden Al-‘Abaqirah (PMA) dengan jumlah calon seramai 21 orang pelajar.
Walaupun baru ditubuhkan, PMA kini mencatatkan satu kejayaan besar dalam sejarah pendidikannya apabila berjaya menjadi pusat STAM yang pertama di Wilayah Persekutuan. Sekalung penghargaan kepada Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana telah membantu sepanjang peperiksaan berlangsung.
Umum mengetahui, PMA merupakan sebuah institusi yang memperkenalkan kurikulum pengajian Tahun 3 (Semester 5 dan 6) dengan pengajian beberapa subjek seperti al-Quran dan Tajwid, Hadis dan Mustolah, Fiqh dan Faraid, Tauhid dan Mantiq, Tarikh Adab dan Nusus serta Tafsir dan Ulum. Dalam masa yang sama, para pelajar juga menghafal Juzuk Lima dan Juzuk Enam serta mempelajari subjek Turath Jawi seperti Bughyah al-Tullab, Bahrul Mazi dan Siyarus Salikin.
Bagi mendapatkan keputusan yang baik dalam STAM, maka para pelajar perlu menguasai bahasa Arab kerana keseluruhan subjek adalah dalam bahasa tersebut. Menurut salah seorang calon STAM, Muhammad Ikhwan Haziq, “Minat yang mendalam terhadap bahasa Arab ketika menengah rendah lagi mendorong saya menyambung pengajian di pondok dan mengambil peperiksaan STAM di sini”. Memandangkan barisan pelajar ini merupakan kumpulan pertama yang mengambil peperiksaan STAM tahun ini, maka diharapkan agar mereka dapat melonjakkan nama PMA dengan memperoleh sijil pangkat mumtaz (cemerlang).