BERITA GEMBIRA ASNAF DI WANGSA MAJU
18 September – Pusat Agihan Zakat Baitulmal MAIWP atau ringkasnya disebut sebagai PAZA dibuka oleh MAIWP bagi memudahkan asnaf. PAZA dibuka mengikut kawasan Parlimen.
Dengan penubuhannya, orang ramai khususnya golongan asnaf tidak lagi perlu hadir ke ibu pejabat Baitulmal MAIWP, sebaliknya hanya perlu berurusan di PAZA yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka.
Baru-baru ini, sebuah lagi PAZA iaitu di Parlimen Wangsa Maju telah mula beroperasi. Pembukaan PAZA tersebut menjadikan jumlah keseluruhan PAZA yang telah dibuka sebanyak 11 buah termasuk di Labuan.
Pembukaan PAZA mendapat reaksi positif daripada masyarakat. Penubuhan PAZA terbukti telah memudahkan asnaf dalam memohon bantuan zakat. Ia telah memberi impak dan manfaat yang besar dalam pengurangan kos, masa dan tenaga asnaf itu sendiri. Selain itu pembukaan PAZA mampu meluaskan lagi agihan zakat.
Inisiatif pembukaan PAZA telah menerima pengiktirafan Gold Award daripada Malaysia Productivity Corporation (MPC) setelah ia dibentangkan dalam Pertandingan Konvensyen Team Excellence Wilayah Utara 2017 pada 16 Ogos yang lalu.