OGOS BULAN BERMAKNA UNTUK MAIWP
28 Ogos – “Bulan Ogos merupakan bulan yang cukup bermakna kepada kita sebagai warganegara Malaysia dan juga warga MAIWP,”. Kata-kata ini diucapkan sebagai pembuka bicara YBhg. Dato’ Haji Paimuzi bin Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) MAIWP dalam Perhimpunan Bulanan MAIWP Ogos 2017.
Beliau di majlis tersebut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga MAIWP yang telah memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi. Hasil komitmen semua warga MAIWP, dua kejayaan besar telah dicapai.
Kejayaan pertama apabila MAIWP menerima Sijil Audit Bersih Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan MAIWP Berakhir 31 Disember 2016. Kejayaan ini merupakan kejayaan tahun ke-11 berturut-turut sejak tahun 2006. Ia menjadi bukti MAIWP sentiasa mementingkan pengurusan kewangan yang cekap dan telus terutamanya dana zakat.
Kejayaan kedua pula diterima melalui Anugerah Emas bagi projek inovasi MAIWP yang dibentangkan di pada 15-16 Ogos 2017 di Pulau Pinang. Melalui Konvensyen Team Excellence Wilayah Utara 2017 anjuran Malaysia Productivity Corporation (MPC), MAIWP menerusi Kumpulan Sufi telah membentangkan Pusat Agihan Zakat (PAZA). Beliau berharap MAIWP dapat melakar kejayaan ke peringkat yang lebih tinggi.
Pada majlis tersebut, turut disampaikan Anugerah Pegawai Berprestasi Bulanan, sijil penarafan EKSA kepada bahagian di MAIWP dan hadiah kepada pasukan boling wanita MAIWP yang menjadi johan dalam Pertandingan Boling PUSPANITA Jabatan Perdana Menteri.