SAKIT TAPI BERJAYA
Dalam kesakitan yang dihadapi perniagaan biskut cip coklat kini menjadi sumber utama pendapatannya. Jejak Usahawan kali ini mencungkil semangat dan ketabahan Puan Norul Huda untuk dikongsi bersama.
Mengenangkan kembali sejarah hidupnya, Puan Norul Huda bukanlah yang pada awalnya hidup susah. Bahkan, suatu ketika dahulu dia memegang tiga jawatan dan mempunyai pendapatan hampir 5 angka sebulan. ‘Dulu saya seorang Guru di Sekolah Menengah, saya juga Pengetua di Waylan Training Centre Selain itu, saya pemilik Tadika Pasti. Saya juga yang menanggung perbelanjaan keluarga. Puan Norul huda memulakan bicara.
“Saya seorang yang rajin berusaha, pada tahun 2009 saya mohon Bantuan Perniagaan Baitulmal untuk mengembangkan Tadika Pasti dengan membuka 2 cawangan di Wangsa Maju dan Bandar Tun Hussien Onn, Cheras. “Tapi Allah nak uji saya, tahun 2013 doktor sahkan saya mengidap penyakit Endometriosis kronik iaitu sakit dalam rahim. 2 tahun saya terbaring tidak boleh bangun hanya terlantar atas katil. Sakit saya serang pada bila-bila masa dan mereka perlu membawa saya menaiki Ambulans apabila sakit saya diserang. Pada ketika itu ubat tahan sakit menjadi peneman setia saya.” Puan Nor Huda memula menahan serabak apabila mengenang kembali sakitnya.
“Segala wang simpanan saya habis bagi membiayai penyakit saya. Saya juga terpaksa melepaskan kerjaya saya sebagai guru dan pengetua kerana kerap mengambil cuti. Pada tahun 2015 saya cakap dengan diri saya, saya perlu bangkit dan kuat untuk melawan penyakit saya, saya ada mak ayah yang perlu saya jaga. Dengan semangat dan kekuatan itula saya mulakan perniagaan membuat biskut.” Terlihat satu garis senyuman untuk dirinya apabila mampu bangkit dan mampu menjana pendapatannya sendiri.
“Saya ingat lagi saya keluar menjual biskut saya di Giant Ulu Klang ke orang ramai, saya tebalkan muka sebab wang saya dah habis untuk membiayai kos rawatan saya. Bila saya keluar saya jumpa orang saya juala biskut saya. Saya percaya Allah akan memberi rezeki kepada orang yang berusaha, Allah murahkan rezeki saya dalam perniagaan ini. Semakin lama semakin banyak permintaan dari orang ramai dan kawan-kawan yang tinggal di luar negara. Saya pernah menghantar 200 balang ke Perancis ketika musim perayaan Hari Natal disana.
“Ketika perniagaan saya semakin maju saya tidak mampu untuk menampung permintaan dan saya mengambil keputusan untuk mohon Bantuan Perniagaan Baitulmal. Alhamdullilah permohonan saya berjaya. Baitulmal MAIWP menyalurkan ketuhar dan pengadun tepung. Saya sangat berterima kasih dengan Baitulmal MAIWP kerana bantu dan memberi sokongan kepada saya untuk terus maju kehadapan. Kini saya mampu menjana pendapatan saya sebanyak RM5,000 sebulan. Saya berharap kisah saya ini menjadi salah satu inspirasi kepada asnaf di luar untuk sama-sama berjaya membangunakan ekonomi Ummah.” Tersenyum puas Puan Norul Huda sambil mengakhiri perbualan bersama penulis.
• Puan Norul Huda berjaya mengeksport biskutnya ke Perancis, Dubai, London, Singapura dan Jepun.
• Puan Norul Huda ingin membuka kafe yang menjual kek dan pastri
• Puan Norul Huda sedang membuat persiapan untuk menghantar biskutnya ke luar negara sempena Hari Natal.