EKSA MAIWP
21 Jun – Sempena Perhimpunan Bulanan MAIWP Jun 2017, keputusan Pertandingan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Peringkat MAIWP telah diumumkan.
Pemarkahan telah diberikan menerusi sesi pengauditan dalaman yang diadakan bermula 22 Mei 2017 hingga 25 Mei 2017.
Bagi kategori A, tempat pertama telah dimenangi oleh Zon Al-Insaan dari Bahagian Pembangunan Insan, tempat kedua dimenangi oleh Zon Al-Fajr dari Bahagian Pembangunan dan Pelaburan dan tempat ketiga telah dimenangi oleh Zon As-Saff dari Bahagian Khidmat Pengurusan.
Manakala, bagi kategori B pula dimenangi oleh Zon Az Zumar dari Institut Kemahiran Baitulmal (IKB).
Video EKSA terbaik pula telah dimenangi oleh Bahagian Pembangunan dan Pelaburan.
Secara keseluruhannya, pemarkahan yang diperolehi oleh MAIWP dalam sesi pengauditan kali ini adalah 77.8%.
EKSA merupakan insiatif kerajaan melalui Unit Pemodenan Tadbir Urus (MAMPU) untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif. Ia merupakan penjenamaan semula kepada pelaksanaan Amalan 5S yang telah sekian lama dilaksanakan di sektor awam dan swasta.
Bagi membolehkan agensi menerima Sijil EKSA Tahap Cemerlang daripada MAMPU, agensi hendaklah mencapai markah sekurang-kurangnya 80% ke atas yang merangkumi 5-6 komponen yang ditetapkan.
YBhg. Dato’ Haji Paimuzi Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP berharap MAIWP akan menjadi Majlis Agama Islam Negeri yang pertama di Malaysia menerima Sijil EKSA Tahap Cemerlang. Justeru, beliau menggesa warga MAIWP pada setiap masa dapat memastikan pematuhan terhadap kriteria yang ditetapkan. Menurut beliau lagi, pelaksanaan EKSA akan mewujudkan persekitaran kerja yang selesa dan kondusif seterusnya memudahkan pelaksanaan tugas harian.