ASNAF MAIWP BERJAYA
Aktiviti agihan zakat MAIWP mensasarkan penerima zakat akan keluar daripada kemiskinan dan akhirnya menjadi seorang yang pembayar zakat. Oleh itu, pelbagai program agihan zakat telah dirangka oleh MAIWP samada secara langsung menerusi skim bantuan zakat atau secara tidak langsung melalui institusi-institusi di bawah MAIWP.
Dari semasa ke semasa, program ini telah menampakkan hasilnya dan ramai antara mereka yang kini telah berjaya.
Pada 17 Julai yang lalu dalam Majlis Semarak Syawal Bersama Asnaf Baitulmal MAIWP, seramai tiga orang penerima zakat MAIWP yang berjaya telah diketengahkan.
Tokoh Pertama: Puan Norhanim Binti Ahmad Junid
Beliau merupakan seorang pengusaha rempah ratus di bawah jenama Rahsianor. Bermodalkan RM40 untuk menghasilkan 20 paket rempah ratus, kini beliau telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM50,000 setahun.
Segalanya berubah setelah beliau mendapat Bantuan Perniagaan Baitulmal MAIWP berupa wang tunai sebanyak RM3,000.00 sebagai modal tambahan untuk mengembangkan perniagaan. Daripada menghasilkan 20 paket rempah ratus sehari, beliau kini mampu menambah jumlah pengeluaran kepada 2,000 paket setiap hari.
Hasil usaha yang tidak kenal erti putus asa, beliau berjaya memasarkan produk rempah ratus di lebih 7 outlet dan mempunyai agen di seluruh Malaysia.
Tokoh Kedua: Puan Norul Huda Binti Abd Hadi
Beliau merupakan seorang bekas guru terpaksa dan terpaksa meninggalkan kerjayanya akibat sakit yang dihidapinya. Walaupun hospital menjadi rumah kedua buat beliau, namun ia tidak mematahkan semangatnya. Beliau mula melibatkan diri dalam penyediaan biskut dan lama kelamaan ia mula menarik minat orang ramai untuk mencuba.
Baitulmal MAIWP telah menyalurkan Bantuan Perniagaan sebanyak RM3,000.00 bagi membeli peralatan untuk pembuatan biskut.
Perniagaan beliau semakin berjaya di mana beliau telah mengorak langkah dengan
mengeksport biskutnya ke luar negara seperti Dubai, Jepun, Paris, London dan Singapura.
Kini, beliau mampu menjana pendapatan sebanyak RM15,000 setahun dan menjadi salah seorang pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.
Tokoh ketiga : Puan Nurhanim Binti Mohamed Daud
Beliau membesar dalam keluarga yang amat susah dan sukar disebabkan kematian ayahnya untuk bergantung hidup. Sebagai anak sulung, beliau bertanggungjawab membantu ibunya dengan membuat dan menjual kuih. Beliau bangun seawal pagi untuk menjual kuih sebelum pergi ke sekolah.
Pada tahun 1999-2001, ketika berusia 15 tahun, beliau dihantar memasuki sebuah institusi di bawah MAIWP iaitu Kompleks Darul Kifayah. Di kompleks yang menempatkan anak-anak asnaf dan yatim piatu ini, keperluan mereka ditanggung sepenuhnya dan peluang pendidikan mereka dijamin dengan mereka dihantar ke sekolah-sekolah yang berdekatan.
Setelah tamat belajar di peringkat menengah, beliau telah melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Kini, beliau bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri. Beliau pernah menerima Anugerah Pekerja Contoh dan turut aktif dalam aktiviti sukarelawan dengan menjadi Setiausaha National Austim Society of Malaysia (NASOM)
Inilah manfaat daripada zakat yang diterima daripada para pembayar zakat. Kejayaan mereka tidak akan lahir tanpa adanya komitmen daripada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Terima kasih para pembayar zakat. Amanah anda MAIWP tunaikan.