KEMERIAHAN AIDILFITRI DIKONGSI BERSAMA
17 Julai 2017 (Isnin) Majlis Semarak Syawal YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bersama Asnaf Baitulmal MAIWP tahun 2017 telah diadakan di Dewan Komuniti Sentul Perdana, Kuala Lumpur dengan jemputan asnaf seramai 1,000 orang.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B) dengan penyerahan mock cek:
i. Bantuan Kewangan Bulanan kepada 21,000 asnaf dengan peruntukan sebanyak RM106.13 juta
ii. Bantuan Deposit Sewa Rumah Bulanan kepada 4,000 asnaf dengan peruntukan sebanyak RM9 juta; dan
iii. Bantuan Perubatan Baitulmal MAIWP kepada 3,585 asnaf dengan jumlah peruntukan sebanyak RM25 juta.
Selain itu, Baitulmal juga meraikan tokoh asnaf yang berjaya dalam bidang keusahawan dan pegawai profesional.
Dua orang tokoh asnaf dalam bidang keusahawan iaitu:
Puan Norhanim seorang pengusaha rempah ratus yang hanya bermodalkan RM40 untuk menghasilkan 20 paket rempah ratus kini beliau berjaya menjana pendapatan sebanyak RM50,000 setahun.
Segalanya berubah setelah beliau mendapat Bantuan Perniagaan Baitulmal MAIWP berupa wang tunai sebanyak RM3,000.00 sebagai modal tambahan untuk mengembangkan perniagaan.
Daripada menghasilkan 20 paket rempah ratus kepada 2,000 paket setiap hari.
Hasil penat lelah ini beliau berjaya memasarkan produk rempah ratus di lebih 7 outlet dan mempunyai agen di seluruh Malaysia.
Tokoh usahawan asnaf kedua adalah Puan Norul Huda yang berusia 39 tahun, seorang bekas guru terpaksa meninggalkan kerjayanya akibat sakit yang dihidapinya.
Walaupun hospital menjadi rumah kedua buat beliau, namun tidak mematahkan semangatnya untuk mengorak langkah dengan mengeksport biskutnya ke luar negara seperti Dubai, Jepun, Paris, London dan Singapura.
Kini, beliau mampu menjana pendapatan sebanyak RM15,000 setahun dan menjadi salah seorang pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.
Tokoh asnaf yang ketiga adalah seorang pegawai profesional ialah Puan Nurhanim berusia 33 tahun adalah salah seorang penghuni Darul Kifayah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada tahun 1999-2001.
Mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini, Puan Nurhanim adalah seorang Peguam Persekutuan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
Kejayaan demi kejayaan ditempa oleh beliau dengan Anugerah Pekerja Contoh. Selain itu, beliau juga adalah Setiausaha National Austim Society of Malaysia (NASOM)
Kemampuan dan tanggungjawab MAIWP menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan zakat adalah daripada sumber kekuatan dana zakat di MAIWP.
Kekuatan dana ini tidak mungkin akan terhasil tanpa adanya komitmen daripada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.