FATIN SOFIA PENERIMA ZAKAT YANG BERJAYA

Saiz Tulisan :

keciik

Menelusuri jalan sekitar Brickfields, Kuala Lumpur terasa umpama berada di dunia Bollywood. Kawasan yang digelar dengan jolokan ‘Little India’ di tengah-tengah kota metropolitan ini benar-benar menukar suasana kesibukan dengan warna-warni kehidupan masyarakat India di Kuala Lumpur. Namun, bukanlah Kajol mahupun Priyanka Chopra yang dicari, juga bukan kain sari dan sutera beraneka yang dijejaki.

Walaupun telah beberapa kali mencuba untuk mengatur temu janji. Dek kesibukan dan tanggungjawab sebagai seorang jurutera sivil, masa itu terlalu mencemburui. Bukan apa, sebelum lebaran yang lalu terlalu banyak projek menghampiri dateline yang perlu disiapkan.

Siapa sangka, rezeki anak kelahiran Pantai Dalam, Kuala Lumpur ini berada dekat dengan kampung halamannya. Itulah namanya rezeki dalam rezeki.

“Sofia Loren!!!”, gurauan daripada rakan sekerja sewaktu kami sampai ke Pakatan Perunding Yusoff Sdn. Bhd. dengan memanggil individu yang ingin ditemu bual dengan merujuk kepada pelakon popular Hollywood era 50-an.

Dari sudut belakang pejabat, diiringi senyuman manis, tampil individu yang dinanti. Beliau adalah Fatin Sofia Abd. Latip, 27, dan masih belum mendirikan rumah tangga. Fatin merupakan antara seorang daripada kalangan asnaf zakat di Wilayah Persekutuan yang terbukti mampu berjaya jika benar-benar jujur dan tekun berusaha.

JALAN MENUJU KEJAYAAN

“Ayah hanya seorang pemandu teksi dan ibu suri rumah sepenuh masa. Alhamdulillah, kami dua beradik membesar dalam penuh kesederhanaan dan sentiasa bersyukur walaupun hanya cukup-cukup makan,” ujar Fatin Sofia memulakan bicara.

Setelah selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Teknik Cheras, Kuala Lumpur, Fatin Sofia mengambil keputusan menyambung pengajiannya ke peringkat diploma. Jurusan yang dipilih adalah bidang kejuruteraan sivil di UiTM Pulau Pinang.

“Masa diploma dahulu, saya belum lagi menerima bantuan zakat. Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diperoleh ketika itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan sepanjang pengajian,” katanya.

Walaupun begitu, Fatin Sofia bukanlah seorang yang mudah berputus asa. Peluang bekerja sambilan dimanfaatkan dengan bekerja di sebuah kios menjual kuih pau dalam kawasan kampus.

Bukan itu sahaja, Fatin juga bekerja sebagai kerani bagi menguruskan perniagaan kereta sewa demi menambah pendapatan buat bekal menyambung pengajian.

“Saya juga memanfaatkan masa cuti semester untuk bekerja sambilan. Sekurang-kurangnya beban yang ditanggung ayah menjadi lebih ringan,” katanya.

Ditanya apakah aktiviti sambilan itu menjejaskan pembelajaran, Fatin Sofia mengaku ia sedikit terganggu dan adakalanya tidak dapat menumpukan perhatian.

Namun itu bukanlah alasan untuk tidak berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma dengan cemerlang.

DIBANTU DAN AKHIRNYA TAMPIL MEMBANTU

Usai menamatkan pengajian di UiTM Pulau Pinang, Fatin Sofia menyambung lagi pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang sama di UiTM Shah Alam.

“Ketika berada dalam semester keempat, saya dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa Baitulmal MAIWP menyediakan bantuan untuk melanjutkan pelajaran.

“Saya cuba pohon dan alhamdulillah dipanggil menghadiri temu duga. Bantuan diluluskan sebanyak RM6,100 setiap semester selepas tiga bulan dari tarikh permohonan,” kata Fatin Sofia.

Katanya: “Oleh kerana berjaya mengekalkan keputusan cemerlang dengan CGPA melebihi 3.5 setiap semester, maka bantuan saya dikategorikan sebagai Biasiswa Pelajar Cemerlang oleh Baitulmal MAIWP.”

Hasil ketekunan dan kegigihan, beliau berjaya melakar kecemerlangan dan pernah beberapa kali menerima anugerah dekan sepanjang tempoh pengajiannya.

Tatkala ditanya tentang rakan-rakannya yang lain, Fatin Sofia memaklumkan mereka juga turut menerima sumbangan dan bantuan pengajian dalam bidang masing-masing.

“Bantuan yang diberikan Baitulmal MAIWP tidak terhad kepada jurusan agama sahaja. Ramai yang salah anggapan sebenarnya.

“Rakan-rakan saya pun menerima bantuan dan mereka mengambil jurusan kejuruteraan dan perakaunan,” ujar beliau.

Kini atas dasar kesedaran pentingnya zakat dalam membantu para asnaf, Fatin Sofia tampil membayar zakat pendapatan menerusi khidmat zakat secara online yang disediakan oleh Pusat Pungutan Zakat.

Atas dasar mengenang jasa dan bantuan yang pernah diterimanya, beliau seringkali menggalakkan rakan-rakan sepejabat agar menunaikan kewajipan berzakat.

Inilah erti sebuah kehidupan. Kitaran ekonomi unik antara yang membantu dan dibantu, akhirnya melahirkan individu yang kini tampil membantu.

Tatkala ditanya tentang perkara yang memotivasikan dirinya, Fatin Sofia terdiam sejenak. Barangkali ingin memugar kenangan yang tersisip dalam lipatan pengalaman.

“Walaupun ayah tak pernah mengeluh namun saya amat faham keadaannya.

“Ketika membuat keputusan untuk menyambung pengajian, saya melihat wajah ibu dan khususnya ayah. Raut wajah yang tak mampu membendung kerisauan dan kebimbangan.

“Saya faham sudah tentu berkait soal kewangan,” katanya.

Justeru, Fatin Sofia tekad menenun azam. Setelah mendapat tahu permohonan bantuan zakatnya diluluskan, beliau amat bersyukur dan sedar ketika itu beban ayahnya seolah-olah telah ‘diangkat’.

Dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab semua peluang dan bantuan itu digunakan sepenuhnya untuk mendalami ilmu.

Fatin sedar, kini ‘bebannya’ pula telah bermula.

“Saya yakin harga sebuah kejujuran terutama dengan rezeki dan ‘peruntukan’ daripada Allah amatlah hebat natijahnya. Jujurlah dengan-Nya, segalanya akan menjadi lebih mudah,” katanya.

Buktinya, belum sempat Fatin Sofia melepas lelah selepas menamatkan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sivil dengan cemerlang, beliau ditawarkan kerja di firma kejuruteraan yang beliau berkhidmat sekarang dalam tempoh tidak lebih dari sebulan!

Inilah inti pati sebenar nilai kejujuran dan ketakwaan.

Benarlah janji Allah dalam firman-Nya menerusi Surah al-Talaq ayat 2-3:

“Sesiapa yang bertakwa kepada Allah akan dijadikan baginya jalan keluar dan akan direzekikan baginya daripada sumber yang tidak disangka. Sesiapa yang hanya bertawakkal kepada Allah maka cukuplah (perkara) itu baginya. Sesungguhnya Allah akan menyampaikan segala urusan-Nya dan Allah telah menjadikan segala sesuatu sebagai ketetapan yang telah ditentukan (ditakdirkan).”

sumber: utusan online

 Memacu Kegemilangan Ummah 
TOP

THEME OPTIONS

Header type:
Theme Colors:
Color suggestions *
THEME
* May not have full accuracy!