24,700 ASNAF TERIMA BANTUAN AIDILFTRI
Golongan asnaf sentiasa menjadi perhatian utama MAIWP. Menerusi zakat yang diterima daripada para pembayar zakat, MAIWP sedaya mungkin memastikan ia dapat menyantuni asnaf sebaiknya.
Menjelang Hari Raya Aidilfitri, MAIWP menyalurkan sebanyak RM9.67 juta bantuan zakat Aidilfitri kepada 24,700 orang asnaf. Bantuan ini diberikan bagi membolehkan mereka membuat persiapan menyambut Hari Raya sekaligus turut sama merasakan kemeriahan Aidilfitri.
YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MAIWP hadir menyempurnakan penyampaian bantuan. Dalam ucapannya, beliau menyatakan MAIWP telah melaksanakan pelbagai program agihan zakat.
Menerusi agihan zakat secara langsung, sebanyak 28 skim bantuan zakat ditawarkan. Manakala menerusi agihan secara tidak langsung, MAIWP telah menubuhkan institusi pendidikan bermula peringkat usia muda sehingga pengajian tinggi dan juga institusi-institusi perlindungan.
Dalam majlis tersebut juga, turut disampaikan dana zakat kepada tabung kebajikan 11 buah hospital dan institusi perubatan berjumlah keseluruhan RM1.05 juta.
Bantuan dan sumbangan zakat ini telah disampaikan di Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada Asnaf MAIWP Tahun 2017/1438H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Seramai 3,000 asnaf hadir di majlis ini dan diharapkan ia menjadi bukti kepada masyarakat bagaimana MAIWP amat proaktif dalam mengagihkan bantuan zakat kepada mereka yang memerlukan.