PERHIMPUNAN BULANAN PERTAMA BERSAMA KPE BAHARU
29 Mei- Perhimpunan bulanan Mei 2017 merupakan perhimpunan pertama MAIWP bersama Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) yang baharu. YBhg. Tuan Haji Paimuzi bin Yahya yang dilantik sebagai KPE pada 1 Mei yang lalu telah berpeluang bertemu dengan warga MAIWP di majlis tersebut.
Dalam pertemuan kali pertama itu, beliau mengingatkan tentang amanah besar yang dipikul. “MAIWP memegang amanah para pembayar zakat. Oleh itu, menjadi keutamaan kepada warga MAIWP memberikan yang terbaik dalam mengagihkan zakat kepada golongan yang berhak,” kata beliau.
“Kita tidak hanya patut berbangga dengan jumlah bantuan dan penerima yang ramai, sebaliknya harus memastikan ia memberi impak kepada penerima,” kata beliau lagi.
Menurut beliau lagi, MAIWP sentiasa mengutamakan pematuhan hukum syara’ dan prosedur kewangan dalam mengagihkan zakat. Setiap sen wang zakat yang ingin dibelanjakan kata beliau perlu mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.
Prosedur kewangan juga sentiasa dipatuhi dan buktinya MAIWP telah menerima Sijil Audit Bersih 10 Tahun Berturut-turut daripada Jabatan Audit Negara.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Jaffar, KPE MAIWP sebelum ini yang telah berjaya menaikkan nama MAIWP.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Anugerah Pegawai Berprestasi Bulanan (APBB) Mac 2017 kepada 4 orang penerima. Turut disampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Dart dan Karom anjuran Kelab Dart dan Kelab Karom di MAIWP.
Mengakhiri ucapan, beliau berpesan agar warga MAIWP dapat merebut ganjaran pahala di bulan Ramadhan ini. Tambah beliau, bekerja di MAIWP merupakan satu ibadah dan ganjaran pahala besar menanti sekiranya dilaksanakan dengan penuh amanah dan keikhlasan.