RM48 JUTA ZAKAT DIAGIH
4 Mei – Para pelajar di dua buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di bawah MAIWP bakal menerima bantuan zakat berjumlah keseluruhan RM48 juta bagi tahun 2017.
Dua buah IPT tersebut adalah Institut Profesional Baitulmal (IPB) dan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa PUSRAWI (PICOMS).
Perkara tersebut dinyatakan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MAIWP di Majlis Majlis Ramah Bersama Pelajar IPB & PICOMS di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Pada sesi pengajian tahun 2017, bantuan zakat sebanyak RM26 juta akan disalurkan kepada 3,280 pelajar IPB manakala sebanyak RM22 juta lagi kepada 3,249 pelajar PICOMS. Jumlah keseluruhan bantuan ini adalah sebanyak RM48 juta.
Bantuan kepada pelajar IPB & PICOMS merupakan antara 28 skim bantuan yang ditawarkan oleh MAIWP kepada anak-anak asnaf di Wilayah Persekutuan.
Bantuan zakat pendidikan merupakan salah satu usaha MAIWP dalam memastikan anak-anak dari keluarga asnaf tidak tercicir dari pendidikan arus perdana.
Terima kasih diucapkan kepada para pembayar zakat. Dengan zakat anda, mereka berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.