KEPIMPINAN BAHARU MAIWP
2 Mei- Berkuatkuasa 1 Mei 2017, MAIWP telah menerima Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) yang baru iaitu YBhg. Tuan Haji Paimuzi bin Yahya.
Beliau menggantikan YBhg. Datuk Hj. Zainal Abidin bin Jaffar yang telah tamat tempoh pinjaman di MAIWP pada 30 April 2017. Kini, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang sebelum itu dijawat oleh YBhg. Tuan Haji Paimuzi.
MAIWP merupakan agensi yang tidak asing bagi YBhg. Tuan Hj. Paimuzi. Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Setiausaha MAIWP semasa dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bermula September 2013 hingga Oktober 2016.
Dalam pertemuan pertama bersama pengurusan MAIWP, beliau berharap warga MAIWP dapat meneruskan kecemerlangan sebelum ini.
Menurut beliau, banyak yang telah dilaksanakan oleh MAIWP dan sekiranya dibandingkan dengan negeri-negeri lain, MAIWP dilihat antara yang terkehadapan.
“Masyarakat melihat MAIWP sebagai agensi yang memegang amanah zakat. Justeru, penting untuk MAIWP menunaikan amanah ini sebaik mungkin dengan menampakkan keberkesanan aktiviti agihan zakat yang kita laksanakan,” kata beliau.
“Bekerjalah dalam suasana yang selesa dan tanpa tekanan,” ujar beliau ringkas sebelum mengakhiri pertemuan.
MAIWP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Datuk Hj. Zainal Abidin atas segala sumbangan dan usaha beliau sepanjang dilantik sebagai KPE MAIWP. YBhg. Datuk Hj. Zainal merupakan KPE MAIWP yang ke-4 dan memegang jawatan tersebut selama 5 tahun sejak 1 Januari 2013.