BAITULMAL MAIWP SEDIA MEMBANTU
Hujan panas permainan hari, susah senang permainan hidup itulah adat kehidupan kita. Melalui maklumat yang disampaikan oleh guru sekolah anak Encik Amir Ghazali, Skuad Jejak Asnaf turun menyantuni keluarga ini yang hidup serba kekurangan.
Keluarga ini diuji selepas En. Amir ditamatkan kontrak sebagai kerani di sebuah firma guaman pada september 2016 setelah berkhidmat selama 13 tahun.
Beliau berusia 40 tahun dan menanggung seorang isteri yang tidak berkerja serta 4 orang anak yang berusia dalam lingkungan 1 tahun sehingga 9 tahun. Mereka sekeluarga telah dihalau dari rumah sewa kerana gagal menjelaskan tunggakan sewa bulanan. Rumah yang didiaminya kini adalah rumah yang baru dibina daripada papan lapis yang dibeli menggunakan wang simpanan beliau.
Sumber bekalan air dan elektrik adalah sumbangan ehsan daripada pemilik bengkel yang berdekatan. Walaupun diduga, En Amir tetap berusaha mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan harian dan membayar tunggakan yuran sekolah anak beliau.
Baitulmal MAIWP melalui Skuad Jejak Asnaf akan membantu meringankan beban mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup. Sementara menunggu bantuan lain, bantuan kecemasan dihulurkan untuk mereka sekeluarga membeli barang keperluan harian.