DARUL ILMI: PAHALA BERTERUSAN KEPADA PEWAKAF
14 Februari – Baru-baru ini telah diadakan Majlis Perasmian Darul Ilmi dan Graduasi 13 orang warga emas yang telah tamat pengajian di pusat tersebut.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan tahniah MAIWP kepada warga Darul Ilmi yang telah mengikuti pengajian agama selama 2 tahun di sini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Mejar Jeneral Dato’Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MAIWP. Dalam ucapannya, beliau berharap mereka yang telah tamat pengajian di Darul Ilmi dapat menyebarkan ilmu yang diperolehi kepada ahli keluarga dan masyarakat.
“Terima kasih diucapkan kepada pewakaf Darul Ilmi, Tuan Haji Ir. Mazlan. Sebagai menghargai jasanya, ilmu yang diperolehi di sini diharap dapat berterusan disebarkan dan selagi mana ia terus dimanfaatkan, selagi itulah ganjaran pahala akan mengalir kepada pewakafnya,” kata beliau lagi.
Darul Ilmi merupakan sebuah pusat pengajian warga emas yang diwakafkan oleh Tuan Haji Ir. Mohd. Mazlan bin hj. Md. Ismail Merican. Beliau pada tahun 2010 telah mengemukakan permohonan wakaf untuk mewakafkan hartanahnya seluas 1.7 ekar sebagai pusat pendidikan Islam khas untuk warga emas berusia 55-70 tahun. Hartanah tersebut yang terletak di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur terdiri daripada 2 lot banglo dan kebun buah-buahan.
Selama 2 tahun berada di Darul Ilmi, mereka mengikuti pengajian agama berkonsepkan pondok moden dalam pengajian Al-Quran, Fardu Ain dan Fardu Kifayah merangkumi pelbagai cabang ilmu. Rutin harian di sini bermula seawal jam 4 pagi dengan aktiviti qiamulail. Selepas solat subuh secara berjemaah, mereka akan berzikir dan berselawat. Ia disusuli kelas pengajian sehinggalah waktu malam.
Puan Zaitun Ahmad, 65, salah seorang pelajar yang tamat pengajian di pusat itu berkata, setakat ini hanya di MAIWP mempunyai pusat pengajian warga emas yang moden dan lengkap berbanding yang diketahui sebelum ini di tempat-tempat lain.
“Saya sangat mengagumi modul-modul yang disediakan di sini, jika boleh kekalkan apa yang ada dan diharap dapat perbanyakkan lagi pusat pengajian seperti ini di mana masa akan datang”, katanya dalam keadaan terharu kerana sedih akan meninggalkan tempat yang banyak memberikan ilmu kepadanya.