Berita MAIWP
MAIWP SERAH SUMBANGAN IHYA’ RAMADHAN RM2.38 JUTA
MAIWP SERAH SUMBANGAN IHYA’ RAMADHAN RM2.38 JUTA
| MAIWP SERAH SUMBANGAN IHYA’ RAMADHAN RM2.38 JUTA |
|
22 Julai- Sebanyak RM2.38 juta telah disampaikan oleh MAIWP dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Ihya’ Ramadhan 1431H/ 2010M di Dewan Masjid Salehuddin Al-Ayubi, Gombak. Majlis tersebut diadakan bagi menyampaikan sumbangan Ihya’ Ramadhan MAIWP kepada seluruh masjid, surau jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan. Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MAIWP manakala YB. Dato’ Raja Nong Chik Dato’ Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan Kementerian tersebut kepada masjid, surau dan surau jumaat di Wilayah Persekutuan. Bantuan yang disampaikan oleh MAIWP terdiri daripada Bantuan Ihya’ Ramadhan sebanyak RM1.41 juta dan Bantuan Keceriaan dan Kebersihan sebanyak RM964,000. Manakala bantuan yang disampaikan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWP) berjumlah RM305,000. Jumlah masjid yang menerima sumbangan daripada MAIWP adalah sebanyak 69 buah, surau jumaat 68 buah dan surau biasa 415 buah. Bagi bantuan Ihya’ Ramadhan setiap masjid menerima RM5,000, surau jumaat RM3,500 dan surau biasa akan menerima RM2,000. Setiap masjid turut menerima bantuan keceriaan dan kebersihan sebanyak RM5,000, surau jumaat sebanyak RM3,000 dan surau biasa sebanyak RM1,000.00. YB. Dato’ Seri Jamil Khir ketika berucap di majlis tersebut berharap sumbangan yang diberikan akan dapat digunakan oleh pihak pengurusan masjid, surau jumaat dan surau biasa untuk melaksanakan program-program bagi menghidupkan bulan Ramadhan 1431H yang bakal menjelang tiba. Menurut beliau lagi, selain sumbangan ini, MAIWP mulai tahun 2010 juga telah menyampaikan bantuan pengimarahan kepada semua masjid, surau jumaat dan surau biasa bagi membantu mereka melaksanakan program pengimarahan sepanjang tahun. Hadir dalam majlis tersebut adalah Y.Bhg. Tuan Haji Anan bin C. Mohd, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Y.Bhg. Dato’ Haji Che Mat bin Che Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merangkap Setiausaha MAIWP dan Y.Bhg. Dato’ Haji Bakarudin bin Othman, Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Perancangan KWP. Majlis tersebut merupakan anjuran bersama MAIWP, KWP dan JAWI.
Y.Bhg. Tuan Haji Anan bin C. Mohd, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP (kiri) mengiringi YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di
Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MAIWP (3 dari kiri) dan YB. Dato’
Raja Nong Chik Dato’ Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar (2 dari kanan) masuk ke dewan Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati Barisan tetamu VIP..Turut hadir Y.Bhg. Dato' Haji Che Mat bin Che Ali, Pengarah JAWI merangkap Setiausaha MAIWP (kiri) dan Y.Bhg. Dato’ Haji Bakarudin bin Othman, Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Perancangan KWP (kanan) YB. Dato' Seri Jamil Khir menyatakan sesuatu kepada Tuan Haji Anan Penyampaian sumbangan Ihya' Ramadhan kepada masjid, surau jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan mengikut zon
Sesi bergambar
|











