• Daftar

ZAKAT DI WILAYAH PERSEKUTUAN: BAGAIMANA DIAGIH?

15 Februari – YBhg. Datuk Hj. Zainal Abidin Jaffar, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP telah dijemput sebagai tetamu radio IKIM.fm untuk membicarakan tentang pengagihan zakat di Wilayah Persekutuan.

Platform yang ada dimanfaatkan sebaiknya oleh beliau dengan menerangkan secara terperinci aktiviti-aktiviti agihan zakat yang telah dilaksanakan oleh MAIWP. Menurut beliau, zakat yang diterima daripada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan diagihkan secara umumnya kepada dua bentuk iaitu secara langsung dan tidak langsung.

Menerusi agihan secara langsung, MAIWP telah mengagihkan zakat menerusi 28 skim bantuan zakat.” Sebagai contoh, satu keluarga yang dalam kesusahan. MAIWP akan membantu mereka menerusi bantuan zakat bulanan dan bantuan pendidikan untuk anak-anak. Sekiranya mereka tidak mampu membayar sewa, maka MAIWP membantu menerusi Bantuan Zakat Sewa Rumah . Begitu juga sekiranya mereka memerlukan rawatan perubatan, maka MAIWP menyalurkan Bantuan Perubatan,” ujar beliau panjang lebar.

MAIWP turut menyediakan Bantuan Perniagaan untuk membantu asnaf yang menjalankan perniagaan kecil. “Alhamdulillah, antara mereka ada yang telah berjaya dan akhirnya menjadi pembayar zakat pula,” terang beliau.

Menerusi agihan zakat secara tidak langsung, MAIWP memanfaatkan zakat dengan penubuhan institusi pendidikan dan perlindungan. MAIWP antaranya telah menubuhkan Sekolah Menengah Agama MAIWP, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Pondok Moden al-‘Abaqirah, Institut Kemahiran Baitulmal dan Institut Profesional Baitulmal. Sehingga kini terdapat 11 institusi pendidikan dan 2 institusi perlindungan di bawah MAIWP.

Wang zakat menurut beliau lagi turut dimanfaatkan untuk menaiktaraf prasarana umatbagi keselesaaan Islam seperti masjid, surau, sekolah rendah agama dan tadika-tadika Islam. Dalam aspek Strategi Lautan Biru Kebangsaan, MAIWP turut memanfaatkan dana zakat menerusi Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1 Malaysia MAIWP-Hospital Putrajaya, Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayan, Kedai Rakyat MAIWP dan Pusat Gelandangan MAIWP-AADK.

Adalahdiharapkan radio IKIM.fm dan media-media lain dapat terus membantu MAIWP menyebarluas maklumat mengenai agihan zakat agar ia dapat menjawab persepsi dan dakwaan tidak tepat mengenai pengurusan zakat.

 
Share